Thursday, August 13, 2009

Al-Fatihah


KUALA LUMPUR, 13 OGOS 2009: Penyanyi utama kumpulan nasyid Rabbani, Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi tadi akibat serangan jantung di Hospital Pantai, Bangsar.

Menurut rakannya, Farihin Abdul Fatah, Allahyarham meninggal dunia selepas rebah dan pengsan ketika latihan program Syahadah di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri kira-kira jam 10.30 pagi tadi. Difahamkan arwah juga mengidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Selain seorang penyanyi nasyid, Ustaz Asri juga seorang pendakwah, bilal dan kerap menjadi imam dalam pelbagai program bercorak ibadah kerana pengetahuan agama dan kelunakan suaranya itu. Beliau yang dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor juga baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-40, minggu lalu.

Pemergian mengejut Allahyarham bukan saja mengundang kejutan buat karyawan muzik, rakan seperjuangan serta peminatnya, malah ia dianggap sebagai satu kehilangan besar buat industri muzik tanah air khususnya dalam arena muzik nasyid sendiri.

Farihin yang banyak terbabit dengan pembikinan album nasyid berkata, Allahyarham memang sentiasa bekerja keras, cukup konsisten dan serius dalam mengembangkan irama nasyid kepada seluruh pendengar.

"Perjuangannya berdakwah dengan nasyid cukup lama iaitu sejak beliau masih lagi remaja dan tidak pernah berhenti berjuang untuk memastikan nasyid mendapat tempat di kalangan masyarakat.

"Mungkin ramai yang mengenali Ustaz Asri ketika dia sudah menganggotai Rabbani tetapi ramai tidak tahu bahawa dialah antara penyanyi nasyid yang menjayakan lagu Asma Ul-Husna yang pernah ditayangkan di RTM satu masa dulu.

"Waktu itu, kami sama-sama menganggotai kumpulan Nada Murni dan saya sendiri turut terbabit dengan penerbitan lagu Asma Ul-Husna itu. Bagi saya, arwah Ustaz Asri bukan saja memiliki vokal nasyid yang terbaik tetapi juga mewakili simbol Islamik menerusi dakwah yang disampaikan menerusi lagu-lagunya," kata Farihin kepada murai.com.my.

Selain Ustaz Asri, Rabbani turut dianggotai oleh Zulkiflee Azman, Ahmad Syafie, Mohd Asri Ubaidullah, Mohd Rithaudden bin Yaakob, Mohd Loqman Abd. Aziz, Azadan bin Abdul Aziz, Hamzah Hasyim, M. Afendi Shahbudin, Nazrul Azhar Tamrin dan Azizan Khalid.

Bersama Rabbani yang mula ditubuhkan pada 1 Mac 1997, Allahyarham Ustaz telah menghasilkan banyak album antaranya Arah, Muhammad Ya Habibi, Pergi Tak Kembali, Iqrar 1421, Intifada, Aman, Qiblat Yang Sama serta Epik.

Rabbani juga adalah penerima anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) sebanyak 4 kali menerusi kategori Album Nasyid Terbaik iaitu Iqra 1421 (2001), Intifada (2002), Qiblat (2003) dan Maulana (2007). Album Iqra 1421 juga menang Album Terbaik dan Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album pada 2001. Mereka juga adalah pemenang Kumpulan Nasyid Paling Popular ABPBH dari tahun 2001 - 2008.

Difahamkan jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Lancong, Seksyen 27, Shah Alam hari ini. Semoga Allah S.W.T mencucuri rahmat ke atas roh Ustaz Asri dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang terpuji. Al-Fatihah.

sumber: www.murai.com.my